Wednesday, August 25, 2010

Tanjung Simpang Mengayau



Tanjung Simpang Mengayau atau Tips Of Borne terletak di barat laut, 40km dari Bandar kudat. Perjalanan ke sana akan melalui kebun kelapa dan perkampung seperti kg San Sin, Kg Tajau, kg Pinangsoo,Kg Loro dan kg Tiga Papan.


Secara umumnya, perjalanan ke Kudat dari Kota Kinabalu mengambil masa 3 jam. Cara terbaik untuk ke sana ialah dengan menyewa kereta dan memandunya. Jika anda tidak tahu ke sana, anda bolehlah menggunakan perkhidmatan Agensi Pelancongan, namun kosnya bukanlah kos ekonomi. Walaubagaimanapun, amat berbaloi jika anda ke sana. Tempatnya cukup menarik.

Saturday, May 8, 2010

Galeri Tun Mustapha

Galeri Tun Mustapha dibuka pada tahun 2006, untuk mengenang jasa seorang tokoh yang berwibawa di Sabah. Allahyarham Tun merupakan seorang ketua yang berpandangan jauh dan tokoh penting dalam kemerdekaan Sabah. Beliau juga seorang pejuang kebebasan semasa Perang Dunia Kedua, seorang aktivis nasionalis, seorang ketua yang banyak memberikan inspirasi dan Ketua Menteri Sabah yang pertama adalah antara beberapa kejayaan dan kecemerlangan beliau.

Galeri yang indah ini terletak dalam premis yang dulunya menempatkan Dewan Undangan Negeri dari tahun 1980 hingga 1995, mengabadikan kisah hidup dan perjuangan Tun Mustapha. Galeri ini menyajikan selayang pandang tentang kejayaan dan kesengsaraan hidup dengan keterangan yang rinci mengiringi setiap imej yang dipaparkan. Galeri ini juga mempamerkan banyak artifak peribadi Tun Mustapha termasuklah pingat-pingat kebesaran dan pakaian yang ditempah khas. Topi golf yang lusuh juga menjadi bahan pameran di situ. Berdasarkan keterangan yang tertera, isteri yang amat dikasihinya telah melemparkan topi tersebut ke luar rumah mereka dalam satu pertengkaran. Topi tersebut telah dijumpai oleh pemandu mereka dan disimpan selama ini olehnya sebelum menjadi penghuni galeri ini. Tun Mustapha bukan sahaja seorang yang amat meminati golf tetapi juga seorang pemuzik yang berbakat. Koleksi biola beliau juga boleh disaksikan di sini. Satu cerita mengatakan bahawa beliau terselamat daripada dibunuh oleh seorang tentera Jepun setelah mendengarkan gesekan biola beliau yang mengalunkan beberapa buah lagu Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Kesemua fakta yang menakjubkan dan memorabilia ini menjadi hak milik kekal di Galeri Tun Mustapha ini. Galeri ini juga mempunyai kedai cenderamata yang menjual barangan kraf berkualiti tinggi, yang diilhamkan daripada motif-motif etnik tradisional pelbagai suku kaum di Sabah.

Dibuka dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Selasa hingga Ahad. Ditutup pada Isnin – kecuali cuti sekolah dan cuti umum. Yuran Kemasukan: Pemegang MyKad RM5.00, Lain-lain RM10.00, Pegawai Kerajaan/Badan Bukan Kerajaan RM3.50, Pelajar RM1.50.

Masjid Negeri Sabah

Antara binaan terindah di Sabah. Dengan keagungan kubahnya yang bermotif dan bertatahkan emas, terletak tidak jauh dari pusat bandar. Masjid yang dibina dengan kombinasi unik antara reka bentuk masa kini dan seni bina Islam ini boleh menampung sehingga 5,000 orang jemaah pada setiap masa. Terdapat juga langkan balkoni yang secara eksklusifnya menempatkan sehingga 500 orang jemaah wanita.
Para pelawat dinasihatkan untuk mematuhi kod berpakaian apabila melawati tempat beribadah ini. Elakkan melawat pada hari Jumaat, yakni hari solat Jumaat bagi penganut Islam.


Untuk ke sana, anda boleh menaiki teksi dari pusat bandar dengan tambang lebih kurang RM10 ataupun menyewa pandu sendiri.

Platform Pemerhatian Bukit Signal



Bukit Signal merupakan puncak yang tertinggi di dalam kawasan bandar raya, merupakan lokasi terbaik untuk mendapatkan pemandangan Kota Kinabalu. Hanya beberapa minit sahaja pemanduan dari Padang Merdeka ke dek berangin tempat anda memperoleh pemandangan yang menakjubkan sehinggalah ke pulau-pulau Taman Tunku Abdul Rahman yang berserakan dan menjangkau lebih daripada itu. Anda perlu menaiki teksi kerana tempat ini terletak di luar laluan bas. Tambang ialah RM10. Dibuka Setiap hari dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah malam. Masuk adalah percuma.

Tamu Penampang

Penampang ialah sebuah hab Kadazandusun yang dibina berasaskan jalinan masyarakat yang erat. Daerah yang sibuk ini terletak lebih kurang 15 minit dari Bandaraya Kota Kinabalu (KK). Daerah yang menggabungkan antara lama dan baru ini cukup unik dengan lot kedai dan banglo moden, pinggiran sawah padi yang berselerak dan kediaman ala kampungnya.

Dongonggon, dianggap sebagai nadi bagi Penampang, apabila Tamu (pasar) diadakan pada setiap Khamis dan Jumaat. Para peniaga keluar untuk menjual barangan keluaran mereka, yang pelbagai bermula daripada sayuran segar sehinggalah kepada barangan kraf. Tamu Penampang sangat terkenal dengan tapai atau lihing (wain beras), bambangan (mangga hutan yang dijeruk) dan tuhau (tumbuhan seakan-akan halia yang telah ditumbuk dan digaul dengan air limau, bawang dan lada). Anda juga boleh mencuba ulat sagu atau butod.

Tamu diadakan setiap Khamis dan Jumaat. Kebanyakan tamu beroperasi seawal 6.00 pagi dan tamat pada pukul 2.00 petang.
Anda boleh ke sana Dengan menaiki teksi yang mengenakan tambang kira-kira RM20.00 sehala dari Pusat Bandar KK.

Orchid De Villa


Ditubuhkan pada tahun 1995 dan terletak di Inanam, lebih kurang 20 kilometer atau 30 minit pemanduan dari Bandar raya KK. Pusat ini meliputi kawasan seluas 12 ekar dan berbangga dengan 50 spesies hibridnya yang dipamerkan di Taman Hibrid. Terdapat juga 300 spesies orkid liar Borneo, termasuklah jenis yang amat jarang ditemui. Tarikan utama di sini ialah penanaman orkid secara komersial dan pemuliharaan orkid liar.

Orchid de Villa juga memiliki kolam ikan untuk pemancing, taman kaktus, kotej dan beberapa kemudahan lain dalam persekitarannya. Lawatan berpandu dan juga lawatan terancang juga boleh diaturkan dengan makluman yang lebih awal.
Untuk ke sana, anda boleh menaiki teksi dengan bayaran sehala lebih kurang RM30 daripada Pusat Bandaraya. Dibuka Setiap hari dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Yuran masuk ialah, Warganegara Malaysia - RM5.00 dan Bukan Warganegara Malaysia - RM10.00

Menara Tun Mustapha

Terletak sejauh 5 kilometer atau lebih kurang 15 minit dari Pusat Bandar raya KK. Dahulu dikenali sebagai Bangunan Yayasan Sabah, menara bundar yang diperbuat daripada keluli dan kaca setinggi 30 tingkat di Teluk Likas dan dengan segera menjadi ikon Sabah. Bangunan ini memiliki keluli yang menyokong setiap tingkat. Apabila siap pada tahun 1977, bangunan ini menjadi antara tiga bangunan yang dibina berdasarkan konsep rekaan seumpama ini. Di dalam kompleks bangunan ini menempatkan auditorium, dua teater mini, foyer pameran, gimnasium, tadika dan perpustakaan penyelidikan. Di tingkat 18 terdapat restoran berpusing Atmosphere, tempat anda menikmati hidangan dalam suasana yang amat berbeza.

Untuk ke sana, naiki bas UMS No.5A dari Terminal bas Plaza Wawasan di KK dan maklumkan destinasi anda kepada pemandu bas. Tambang sehala ialah RM2.00 hingga RM2.50. Anda juga boleh menaiki teksi dengan bayaran sehala sebanyak RM15.00-RM20.00 (Berdasarkan meter)Dibuka Setiap hari dari pukul 10.00 pagi hingga 2.00 petang.