Wednesday, March 25, 2009

PULAU TEMPAT PENYU BERTELUR


40 kilometer dari Timur-Utara Sandakan iaitu di seberang Pulau Libaran dan berhampiran dengan Sempadan Malaysia dan Filipina, terdapat sekelompok tiga pulau kecil yang berhampiran iaitu Pulau Selingan, Pulau Gulisan dan Pulau Bakkungan Kecil. Pulau-pulau ini merupakan pulau-pulau yang terkenal kerana penyu-penyu mendarat dan bertelur di pantainya. Penyu-penyu ini biasanya bertelur pada waktu malam iaitu selepas pukul 8 bila air surut telah surut. Pada ketika itu anda boleh menyaksikan penyu-penyu yang mendarat, mengorek lubang di pantai dan bertelur ke dalamnya.



Penyu-penyu yang bertelur di pulau ini ialah 83% ‘Green Turtles’ dan 17% ‘Hawksbill Turtles’. ‘Green turtles’ kebanyakannya bertelur di Pulau Selingan. Manakala ‘Hawksbill Turtles’ kebanyakannya bertelur di Pulau Gulisan, kerana terdapat terumbu karang yang luas di kawasan ini. Manakala sebahagian kecil dari kedua-dua jenis penyu ini bertelur di Pulau Bakkungan Kecil. Penyu-penyu ini bertelur sepanjang tahun, tetapi kemuncak ia bertelur ialah pada bulan Julai hingga bulan Oktober bagi ‘Green Turtles’ dan ia bertelur lebih kurang 110 biji dalam satu lubang. Pada bulan Februari hingga April pula, penyu ‘Hawksbills Turtles’ akan bertelur di antara 70 hingga 180 biji telur sekali. Telur-telur ini akan di eram selama 50-60 hari sebelum ia menetas menjadi anak penyu dan berenang kembali ke laut. Dalam penyelidikan, penyu-penyu betina ini akan kembali untuk bertelur selepas 20 tahun dan akan kembali bertelur selepas beberapa tahun berikutnya.

Di antara pulau-pulau penyu ini, Pulau Selingan juga merupakan salah sebuah tempat pelancongan yang menarik. Dengan menggunakan bot laju anda boleh menyaksikan keindahan pulau ini dan kejernihan lautnya yang cantik serta membiru dengan beraneka jenis ikan. Di Pulau Selingan terdapat sebuah chalet iaitu Chalet Pulau Selingan. Ia mempunyai 15 buah bilik yang mempunyai bilik mandi dan kemudahan lain. Chalet ini juga mempunyai restoran.

No comments:

Post a Comment