Saturday, May 8, 2010

Galeri Tun Mustapha

Galeri Tun Mustapha dibuka pada tahun 2006, untuk mengenang jasa seorang tokoh yang berwibawa di Sabah. Allahyarham Tun merupakan seorang ketua yang berpandangan jauh dan tokoh penting dalam kemerdekaan Sabah. Beliau juga seorang pejuang kebebasan semasa Perang Dunia Kedua, seorang aktivis nasionalis, seorang ketua yang banyak memberikan inspirasi dan Ketua Menteri Sabah yang pertama adalah antara beberapa kejayaan dan kecemerlangan beliau.

Galeri yang indah ini terletak dalam premis yang dulunya menempatkan Dewan Undangan Negeri dari tahun 1980 hingga 1995, mengabadikan kisah hidup dan perjuangan Tun Mustapha. Galeri ini menyajikan selayang pandang tentang kejayaan dan kesengsaraan hidup dengan keterangan yang rinci mengiringi setiap imej yang dipaparkan. Galeri ini juga mempamerkan banyak artifak peribadi Tun Mustapha termasuklah pingat-pingat kebesaran dan pakaian yang ditempah khas. Topi golf yang lusuh juga menjadi bahan pameran di situ. Berdasarkan keterangan yang tertera, isteri yang amat dikasihinya telah melemparkan topi tersebut ke luar rumah mereka dalam satu pertengkaran. Topi tersebut telah dijumpai oleh pemandu mereka dan disimpan selama ini olehnya sebelum menjadi penghuni galeri ini. Tun Mustapha bukan sahaja seorang yang amat meminati golf tetapi juga seorang pemuzik yang berbakat. Koleksi biola beliau juga boleh disaksikan di sini. Satu cerita mengatakan bahawa beliau terselamat daripada dibunuh oleh seorang tentera Jepun setelah mendengarkan gesekan biola beliau yang mengalunkan beberapa buah lagu Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Kesemua fakta yang menakjubkan dan memorabilia ini menjadi hak milik kekal di Galeri Tun Mustapha ini. Galeri ini juga mempunyai kedai cenderamata yang menjual barangan kraf berkualiti tinggi, yang diilhamkan daripada motif-motif etnik tradisional pelbagai suku kaum di Sabah.

Dibuka dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Selasa hingga Ahad. Ditutup pada Isnin – kecuali cuti sekolah dan cuti umum. Yuran Kemasukan: Pemegang MyKad RM5.00, Lain-lain RM10.00, Pegawai Kerajaan/Badan Bukan Kerajaan RM3.50, Pelajar RM1.50.

No comments:

Post a Comment